OCBC Cycle Malaysia 2014

Hari yang ditunggu sudah tiba. Hati ada rasa libang-libu. Ada rasa teruja. Rasa seronok mahu beramai-ramai untuk turut serta dalam acara besar.

Rasa risau tidak cukup latihan seakan cuba melemahkan semangat. Tiga bulan basikal menyepi di bawah tangga. Segala sebab musabab ada sahaja yang boleh diketengahkan sebagai pengukuh.

Alasan! Semua itu alasan.

Niatkan saja untuk bergembira. Setkan juga pencapaian yang relevan dengan kemampuan diri. Sediakan saja apa yang boleh. Nyahkan saja fikiran-fikiran negatif yang cuba menumpaskan yakin diri.

Untuk permulaan, kita sediakan keperluan perut.

Snickers, Power Bar, Power Gel & 100 Plus

Berdasarkan pengalaman kayuhan CFAL5, bekalan tenaga memang diperlukan. Kali ini, semua disiapkan awal-awal. Tapi yang terluak, hanya air, satu Power Gel, dan Power Bar. Snickers? Di luar waktu pertandingan sudah lunyai dikerja perut gebu. Ahahahah!

Seawal jam 4 pagi sudah celik mata. Janji jam 5 baru mahu keluar, tapi takut terlajak tidur kalau pejamkan mata semula. Mandi, bersiap kemudian termenung di bibir katil. Bikin kecoh di dunia Whatsapp.

"Bangun.. bangun... jom kayuh!"

"Bro, dah siap dah ke?"

Ehehehehe! Jam 5 sudah di atas jalan. Jam 5.30 am sudah sampai di parkir Masjid Negara. Sudah penuh! Untung masih ada ruang untuk menyelit. Siapkan basikal, siapkan pakaian. Tepat jam 6.05 am, solat Subuh berjemaah dengan bikers yang lain. Di luar masjid. Ironi. :)

Usai solat, terus saja ke tempat garisan permulaan. Kami agak lambat, jadi kedudukan kami yang paling belakang. Tak nampak langsung garis permulaan, apa lagi pentas pelancaran.

Dengan Encik Riza, kawan dari zaman matrikulasi

Menunggu. Kami antara yang paling belakang.

Apa boleh buat, ikutkan saja apa yang dah ditetapkan. Ingatkan diri sendiri, ini untuk enjoy, bukan untuk berlumba. Cabar diri sendiri.

Jam 6.30 dah berlalu. Itu waktu yang ditetapkan untu permulaan kayuhan. Hampir jam 7 baru lah mula bergerak. Hati berdebar laju. Sambil memulakan kayuhan, sempat mengucapkan selamat kepada kawan yang turut serta.

Bismillahirahmanirrahim.

Mula.

Pusingan pertama berjalan lancar. Walaupun sudah ada yang kemalangan, kayuhan mesti terus. Laluan sudah dijangka agak mudah, tapi mendaki di Jalan Tun Ismail tidak tersangka. Mujur jaraknya pendek. Pendakian seterusnya di Jalan Raja Chulan. Juga pendek. Jadi kalau diikutkan, tidak lah mencabar sangat laluannya.

Tapi aku tak larat.

Masuk pusingan kedua sudah mula perlahan, tetapi tidak berhenti. Bila turun bukit, terus kayuh mahu cepat sampai. Tidak ada istilah rehat. Pusingan tiga, sudah terasa penat. Berhenti berhampiran Tugu Negara, minum air dan habiskan Power Bar yang berbaki. Kayuh tetap terus. Kerana sudah tahu laluan yang akan ditempuh, jadi semangat dan yakin boleh menghabiskan kayuhan paling kurang, 2 jam setengah.

Bila sudah hampir tamat kayuhan pusingan 3, baru teringat Power Gel yang masih belum berusik. Kira-kira 1 kilometer sebelum ke garisan penamat, sebungkus Power Gel selamat ditelan.

Kayuh terus. Kayuh terus. Kayuh terus.

Mana tahu laluan untuk pusingan keempat sudah ditutup. Semua cyclist dilencongkan ke garisan penamat. Aduh! Kenapa? Katanya ada 3 jam untuk tamatkan kayuhan. Masa yang tercatat sehingga pusingan ketiga, baru 1 jam 47 minit. Masih berbaki lebih 1 jam.

Terus kayuh. Terus kayuh. Terus kayuh.

Ke garisan penamat. Ambil medal. Ambil air.

Tapi sudah tidak ada rasa teruja. Medal hanya sebagai ehsan, bukan disebabkan pencapaian. Hanya 3 pusingan daripada empat keseluruhan.

Ada rasa kecewa. Ada rasa marah. Walau niat hanya untuk enjoy, tapi biarlah enjoy yang bermaruah.

Amboi!

Apa pun, tahniah kepada rakan-rakan yang berjaya menamatkan perlumbaan. Yang betul-betul tamat. Yang tak tamat, kita cuba lagi tahun depan.

Insya-allah.

Medal

Bangga

Geng Kayuh Olimpik. Kumpulan Whatsapp. Ehehehe!

Oh! Ada juga gambar yang menjolok mata.

Ehsan Cycling Malaysia

Dari segi catatan masa, banyak peningkatan yang perlu dilakukan. 12km perlu diselesaikan dalam tempoh 30 minit ke bawah.

Ringkasan keseluruhan kayuhan. Average speed sepatutnya 20kmj ke atas.
Pusingan 1; 34 minit



Pusingan 2; 35 minit
Pusingan 3; 38 minit

Berusahalah!







Reactions

Post a Comment

0 Comments