Hikayat Si Bomoh Wangi

Arakian, ada lah seorang bomoh.

Entah dari negeri mana, sekonyong-konyong muncul mahu menebar jasa. Ilmu di dada sudah sedia mahu dicurah bakti, agar kehilangan harta negara tidak lagi menjadi misteri.

Kata seorang pembesar negeri, apa salahnya khidmat bomoh dicubapakai. Mana tahu, siapa tahu, ada mukjizatnya!

Dengan gagah kaki melangkah, Raja Bomoh mencemar duli mahu menunai janji. Biarlah singgahsana ditinggalkan, agar risau jelata dapat ditenangkan.

Daulat Tuanku.

Raja Bomoh memulakan aksi. Mula-mula digunakanlah ia teropong buluh sakti. Teropong anugerah si Puteri Buluh Betong. Dihalanya menuju ke celahan bubu peninggalan Badang. Ah! Gampang! Raja sudah tahu permainan musuh. Rupanya yang hilang itu, ada tersembunyi. Ada khianat yang mahukan ufti.

Lalu sang raja segera menderap kaki mahu menuju ke negeri ghaib. Tongkat sakti anugerah Tok Guru Alam Terbentang sebagai pendayung, bakul anyaman Puteri Gunung Banang untuk menadah berkat, dan kelapa muda yang dipetik ketika perempuan bersalin kembar malam keliwon, menjadi tonik penguat tenaga. Bumi ditepuk tiga kali di sisi kanan, tiga kali di sisi kiri. Lalu terangkatlah tikar ajaib, mengibar-ngibar membelah awan.

Negeri ajaib kini dituju.

Seraya tiba di langit tinggi, terdengarlah seru dari sang pemurka. Angin menderu meniup gerombolan si Raja Bomoh, hampir kembali jatuh ke bumi. Ah! Siapa gerangan yang mahu menghalang tujuan murni? Tidak takut kah tulah dan daulat raja bomoh ini?

"Hei manusia! Berani kamu melanggar negeri beta. Tidak tahu kah kamu untuk beradab? Apa niat kamu ke mari?", seru suara yang menggentar jiwa.

Klong! Klong!

"Wahai suara penggema alam, beta bernama Raja Bomoh Siketumwangi. Berasal dari bumi pelangi. Beta ke mari mahu menuntut apa yang dicuri!"

"Ciss! Lancang mulutmu berkata, keturunan mulia dikata pencuri. Ini kerajaan langit. Kerajaan langit si Ayah Pin. Kami disembah mahkluk tidak berjiwa. Kami orang mulia-mulia. Keturunan kami bukan pencuri!"

Whoosh! Whooooossshhh!

"Ah! Maaf lah. Kalau begitu, tahukah kami ke mana lagi harus kami cari?"

"Itu lah. Ilmu masih belum matang, sudah berani mahu menghunus pedang. Pergi lah kamu pulang, berilmulah, jangan lagi berotak udang."

"Penuhkan iman di dada, jangan lah sekutukan yang Maha Esa. Jangan diperolok-olokkan agama. Usaha lah apa yang termampu, setelah selesai, serahkan kepada yang SATU!"

Raja Bomoh sudah malu. Pulanglah dia ke bumi, menuntut ilmu seperti diseru. Namun masih songsang hatinya, kerana sumber pengetahuannya hanyalah muka buku!








Reactions

Post a Comment

0 Comments