16 Days Photo Challenge | Day 14 - Flashback

Terlalu banyak kenangan lepas yang masih terkenang-kenang sampai ke hari ini.

Yang terlalu peribadi, biar saja tersemat dalam hati.

Yang senang diimbau, tentulah yang ada gambarnya. Meneliti satu persatu album lama, mengundang pelbagai rasa. Sayu. Sedih. Lucu.

Tersipu-sipu. :)

Dan melihat gambar yang satu ini, rasa teruja kembali terjalin.

Mendaki Gunung Ledang
Misi mencari sang puteri

Gambar ini, sekitar tahun 2000. Masih muda belia. Masih teruna. Masih belum tahu, masih naif dengan maksud obesiti.

Aku memang gemar aktiviti outdoor sebegini. Berjalan di dalam hutan, berkhemah, mendaki gunung. Dan seumpamanya. Aktiviti bersatu dengan alam. Perasaannya, aduh! Mana bisa kau huraikan dengan kata-kata. Lepas berlengas berpeluh, dapat pula berendam dalam air sungai yang sejuk membeku. Sambil berbaring di atas batu, mata memerhati daun-daun pokok yang tinggi melampai, melambai ditiup angin. Sesekali mata pedih terkena sinar matahari yang terlepas daripada kepungan daun.

Amboi!

Tapi itulah perasaannya.

Gambar ini ketika mendaki dinding yang rata menghampiri puncak Gunung Ledang. Kalau dibuat carian google, tempat ini dinamakan "Batu Hampar". Menggerikan. Keadaannya hampir 90 darjah menegak, dan hanya semata-mata batu yang terhampar. Tidak ada pokok-pokok yang boleh dijadikan tempat bergayut, memang bergantung sepenuhnya dengan tali yang disediakan.

Ngeri! Aku langsung tak memandang ke bawah. Dan yang geramnya, bila sudah hampir ke penghujung, rakan-rakan suruh berhenti dahulu untuk bergambar. Memang menyumpah marah tetapi bila dikenang balik, aku perlu berterima kasih. Eheheh! Kalau tidak, mana ada pose bergaya macam gambar di atas.

Senyum tanpa keikhlasan.

Oh ya! Nampak kopiah itu?

Ehehehehe!






***********
16 Days Photo Challenge
Day 13 : Dinner
Day 15 : Right Before Bedtime








Reactions

Post a Comment

0 Comments