Kod Pakaian

Aku selalunya malas mengambil pusing hal-hal remeh yang terlalu banyak berleluasa di ruangan media sosial, terutamanya di Facebook. Alasannya mudah. Melihat "kematangan" warga maya ini membentangkan "hujah" dan "fakta" dalam membincangkan sesuatu perkara, sangatlah menakutkan.

"Keunikan" warga media sosial di Malaysia ini ialah, apa sekalipun perkara atau isu, tidak dapat tidak akan dikaitkan dengan bangsa, agama dan juga parti politik. Dan apabila bangsa, agama dan politik terlibat, akan muncul berbondong-bondong pejuang atas talian yang berdegar-degar mencanangkan pandangan dan pendapat. Ada yang positif, ada yang negatif dan golongan yang kemudian itulah yang majoriti.

Kecanduan semberono setiap chauvinist ini sangat membimbangkan, malahan sangat melukakan perasaan. Mereka ini selalunya jarang fokus kepada isu pokok, tetapi menerawang kepada isu yang tidak berkaitan sehingga hilang arah perbincangan.

Ibarat anjing bunting sulung yang kekeliruan, tidak tahu sama ada dia akan melahirkan anak ataupun akan bertelur.

Terkini, kisah seorang warga Malaysia yang "dipaksa" memakai kain sarung (batik)  kerana melanggar kod etika pemakaian untuk berurusan di kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Ah! Aku terlupa aku ini di Malaysia.

Baik.

Aku ulang semula kenyataan di atas.

Terkini, kisah seorang warga Malaysia berbangsa Cina "dipaksa"memakai kain sarung (batik) kerana melanggar kod etika pemakaian ketika berurusan di kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), yang kebanyakkan petugasnya berbangsa Melayu dan beragama Islam.

Sudah diMalaysiakan, menarik tak bunyinya?

;)

Dan menderu-derulah kata nista.

Sakit betul hati membaca setiap komen dan ulasan, Baik daripada yang sebangsa dan seagama, baik yang tidak.

Aku juga, cuba mahu berpihak pada mulanya. Tetapi setelah difikir-fikirkan, aku gagal untuk memilih. Aku cuba melihat dari setiap sudut pihak yang terlibat.

Kod Pakaian

JPJ

  1. Untuk berurusan di kaunter JPJ ataupun mana-mana kaunter kebanyakkannya, memang sudah ditetapkan apa pakaian yang sesuai. Ianya garis panduan, bukanlah undang-undang.
  2. Berpakaian yang sesuai untuk sesuatu acara/tempat adalah common sense. Sebagai warga yang tahu berfikir dan berpendidikan, kita tahu apakah pakaian yang bersesuaian untuk sesuatu acara/tempat. 
  3. Garis panduan bukanlah sesuatu yang wajib, sebaliknya sangat elok dipatuhi. Sekiranya tidak, pendekatan berhemat dan budi bicara boleh digunapakai untuk menegur.
  4. Sebaliknya, menggunakan tindakan memaksa pihak yang tidak mengikuti garis panduan untuk memakai kain batik adalah sesuatu yang sangat memalukan pihak tersebut, kerana ianya berlaku di khalayak ramai.
  5. Persoalan juga, adakah memakai kain batik itu memenuhi garis panduan yang ditetapkan? Adakah berurusan dengan kain pelekat/sarung termasuk dalam garis panduan?
  6. Jelas, pendekatan yang dibuat adalah memalukan dan juga tidak bersesuaian.
  7. Sebaiknya, pihak JPJ boleh memilih untuk selesaikan urusan pihak tersebut di kaunter kerana beliau sudahpun sampai di situ, dan kemudian maklumkan kepadanya bahawa tatacara pakaiannya boleh diperbaiki pada masa akan datang.
  8. Mudah? Tidak. Berurusan dengan manusia memang leceh dan memenatkan.


Kakak Berbaju Merah Jambu

  1. Sebenarnya, kakak boleh memilih untuk tidak memakai kain batik itu. Keluar dan sekiranya yakin tindakan JPJ itu salah, ajukan kepada Biro Pengaduan Awam. Boleh lihat di sini jenis-jenis aduan yang boleh dibuat.
  2. Tetapi saya yakin sepertimana rakyat Malaysia yang lain, urusan di kaunter yang sibuk (seperti JPJ, membuat passport, dan lain-lain) adalah sesuatu yang tidak mahu diulangi atas faktor masa yang panjang. 
  3. Akhirnya kakak memilih untuk berkain sarong.
  4. Namun kakak yang "sudah bersetuju" untuk menyarungkan kain itu dan kemudian mengambil tindakan menyebarkannya ke media sosial (katanya orang lain yang menyebarkan, tidak pasti) ibarat melepaskan bangkai ke dalam lubuk buaya yang kemarau. Ingat! Dunia maya yang porak peranda itu bukan penyelesaiannnya.
  5. Kakak (atau penyebarnya) boleh nampak kesannya hari ini. Seperti yang sudah dinyatakan, isu pokoknya ialah kod pakaian yang dilanggar, tetapi sekarang sudah melarat kepada isu perkauman dan agama.


Warga Maya

  1. Seperti yang aku katakan awal tadi, "kematangan" rakyat Malaysia yang secara purata hanya membaca dua buah buku setahun (kajian tahun 2005), sangat mendukacitakan. Dan aku pula sangat yakin, orang yang membaca dan beramal dengan ilmu tidak akan terjerumus dalam gejala "pahlawan papan kekunci" ini.
  2. Jadi, hanya sebagai pandangan peribadi, aku berpendapat orang-orang ini tidak tahu apa yang mereka bincangkan. Dikuasai emosi yang parah dan ketiadaan hala tuju, mereka ini mengeluarkan kata-kata yang sangat melukakan lagi menyakitkan.
  3. Aku juga yakin, oleh kerana isu ini sudah "dibangsakan", sudah "dikaumkan" dan "diagamakan", mereka yang memberi komen tanpa memikirkan sensitiviti orang (baca: bangsa) lain, adalah mereka yang tidak hidup bermasyarakat. Sentiasa ada prasangka dengan orang yang tidak sama warna kulit, tidak sama adab budaya. 
  4. Oh! Aku tidak menyatakan secara khusus kepada mana-mana kaum, kerana orang seperti ini wujud dalam semua bangsa! Sombong bodoh bukan milik kaum, tapi milik individu.
  5. Paling mengecewakan, dalam keghairahan mencari loncatan kemasyuran, ada di kalangan pemimpin (sekiranya layak dipanggil begitu) turut mahu sama berpesta dalam budaya gila ini.
  6. Teresa Kok, ahli parlimen bagi kawasan Seputeh mengeluarkan kenyataan "JPJ is not mosque, why does this department impose such dress code rules".
  7. Melihatkan ini, sekali lagi aku kecewa. Bukan setakat warga maya yang kalang-kelibut, pemimpin ini juga sudah hilang kewarasannya, atau mungkin lebih sesuai dikatakan sudah hilang kemampuan untuk berfikir. Bagaimana beliau, boleh mengaitkan "mosque" dengan "dresscode'" JPJ? Aku cuba mencari pertaliannya, tetapi tidak ada. Aku bertanya lagi, bagaimana beliau, yang dipertanggungjawabkan untuk memimpin, atas pilihan orang ramai, memilih untuk turut emosi dan tidak sekelumit pun ada rasa bersalah dengan kenyataan ini?

Parah. Masyarakat ini sudah parah. Mereka yang "di atas", mahu hidup dalam penafian. Kebencian wujud di mana-mana. Lihat sahaja, isu kod pakaian yang sebenarnya kecil, boleh menjadi besar kerana masyarakat yang bodoh sombong.

Apa guna negara maju, kalau hidup sering bersyakwasangka.

Maju?

Ah! Maju lah sangat!







Reactions

Post a Comment

0 Comments