[Ulasan Buku] Ah Fook (Jong Chian Lai)

Ah Fook oleh Jong Chian Lai
Nilain: 4/5 bintang

Lama betul mahu menghabiskan bacaan ini. 719 halaman, satu bulan baru dapat menamatkannya! Kalau bukan disebabkan statusnya sebagai pemenang tempat pertama sayembara penulisan ITBM, pasti saya teragak-agak untuk mengusung pulang buku ini ke rumah (disebabkan ketebalannya).

Jalan ceritanya panjang. Bermula dari zaman komunis di China, kekejaman Jepun di Sarawak dan seterusnya kisah hidup Ah Fook, isterinya Tam Bi, serta 15 orang orang anak sedarah sedaging mereka yang "pelbagai" bangsa dan agama. Dari zaman "duda" anak dua, kembali berkeluarga dan terus-menerus hidup dalam kemelaratan untuk membesarkan anak-anak yang ramai.

Ah Fook. Hidupnya terlalu banyak prasangka, mungkin kerana pengalaman getir hidup semasa di China. Ditambah dengan kegagalannya mencari "kaya", anak isteri yang terpaksa dilepaskan memberi luka yang dalam terhadap Ah Fook. Ah Fook memilih untuk membiar luka itu, dalam masa yang sama meneruskan kehidupan yang baru. Sebab itu, lukanya kekal berdarah dan masih belum mampu sembuh sudah sekian lama.

Nasib ada si Tam Bi, ibu 15 kelahiran yang sangat kuat dan kukuh teguh di belakang Ah Fook. Perempuan ini sangat hebat, dan Ah Fook sangat beruntung punyai isteri yang kudratnya boleh mengalahkan lelaki. Cekal dan kuat.

Anak-anak. Dek kerana rutin hidupnya yang sentiasa sibuk mencari rezeki dan menghitung nasib, tidak ada hubungan emosi yang kuat antara Ah Fook dengan anak-anaknya. Tetapi Ah Fook masih mengharapkan mereka semua itu akur dengan perintah dan kemahuannya. Mana mungkin itu terjadi. Terbiar tanpa kasih yang sebenarnya kasih seorang ayah, seorang demi seorang membuat keputusan sendiri untuk masa hadapan. Dan Ah Fook, merana dengan kejadian demi kejadian di balik ego yang masih kekal utuh.

Sikap Ah Fook bukan lah ganjil. Zaman sebegitu sebenarnya wujud "Ah Fook" di mana-mana. Tidak keterlaluan, "Ah Fook" juga masih wujud hari ini!

****

Dari segi penulisannya, agak kekok mahu membaca gaya bahasa penulis ini yang sedikit berbeza dengan penulisan buku sastera yang lain. Tidak pandai mahu saya huraikan, tetapi itulah yang saya rasa.

Jalan ceritanya agak pantas separuh buku ini, namun mula perlahan dan agak memanjang-manjang bahagian kehidupan sukar Ah Fook membesarkan anak-anaknya. Saya juga agak sukar mengagak, bila sebenarnya kejadian ini berlaku. Cerita yang bersifat imbasan masa agak sukar bila tiada penyataan waktu yang nyata. Selain cerita zaman Jepun (yang berlaku dalam pertengahan 1940-an), lain-lainnya kabur. Umur masing-masing juga tidak diketahui, melainkan umur Ah Fook ketika mati ialah 98 tahun.

Oh! Agak mengecewakan buku yang dinobatkan sebagai juara, punya kesalahan paling agung yakni salah susunan helaian. Mukasurat 248 terus melangkau mukasurat 281.

***

Keseluruhannya, memuaskan.

Ah Fook

Ulasan buku yang lain





Reactions

Post a Comment

0 Comments