[Buku] Wachaa The Adventure (Qistina Saharudin)

Wachaa The Adventure (Qistina Saharudin)
Wachaa The Adventure


Wachaa The Adventure oleh Qistina Saharudin
Nilaian: 5 bintang

"Hakuna matata. Take it easy. Its either sooner or later."

Secara keseluruhan, ada rasa puas membaca pengembaraan Mas Qistina. Saya merumuskannya begini; wanita ini berani, yakin, sangat mandiri, nekad dan cekal.

Seorang diri di dunia yang sangat asing, apatah lagi tidak banyak berita "baik" akan negara Kenya itu, wanita yang umurnya baru saja layak didaftarkan sebagai pengundi di Malaysia ini, sangat berani. Saya, yang sudah menghampiri umur empat dekad ini, mahu ke negara seberang pun masih takut seorang diri. Ahahahaha!

Pengembaraan beliau, walaupun secara fizikalnya sangat memenatkan, tapi tak terbanding dengan pengalaman emosinya. Niat dan pelaksanaan beliau, sekata. Sejujurnya, saya sangat cemburu dengan setiap waktu yang beliau nikmati di sekolah rendah Kyau, keluarga Florence dan Bon, komuniti gereja dan juga penduduk sekitar yang sangat menghargai.

Sedikit sebanyak, mengingatkan pengalaman saya ketika mengikuti program khidmat masyarakat di satu kawasan kecil di Pedu, Kuala Nerang sekitar 20 tahun yang lalu. Ya, apa yang dikongsi Mas Qistina di dalam bukunya, menggamit kembali kenangan saya itu. Mungkin tidak sehebat Qistina, tetapi ada kesamaan dalam beberapa perkara. Entah bila lah saya dapat mengulang kembali; berkhidmat kepada masyarakat.

Buku ini, sesuai dibaca untuk remaja dan belia. Untuk dijadikan insipirasi, untuk dijadikan penanda aras kualiti makna hidup sebagai pelajar dan orang muda. Waktu yang patut diisi dengan perkara yang lebih memberi makna. Di kala budaya hedonisme semakin menggila.

Oh! Cuma. Ya, ada cumanya. Beliau tidak berkongsi lebih lagi bagaimana "perseteruan" beliau dengan ayahnya. Ayahnya tidak bersetuju dengan keputusan Qistina ke Kenya, atas alasan-alasan yang saya, bapa kepada empat orang anak, sangat setuju sama sekali. Hati ayah sudah tentu sangat risau dengan keberadaan anak kandungnya. Harap-harapnya, semua baik belaka.

Tahniah Mas Qistina.

Ulasan buku yang lain





Reactions

Post a Comment

0 Comments