Oh Kome! Durian Gopeng, Perak Dah Luruh!

"Berapa sekilo?"

"Tengok saiz bang. Ada 10, ada 15, ada 20."

"Durian kampung ya?"

"Ha'ah. Yang depan ni semua durian kampung."

Galak dia bercerita itu ini begitu begini. Saya iyakan saja. Terus saja saya katakan saya mahu beli durian penuh satu bekas yang memang tersedia di dalam kereta.

Sepanjang perjalanan turun dari Cameron Highlands pulang ke Kuala Lumpur, memang sengaja saya memilih laluan jalan persekutuan, bukan lebuhraya. Memang kami sudah rancang dari awal, kami mahu mencari durian Perak dan bekas kosong sudah kami siapkan. Ruang kereta agak sempit untuk kami bawa durian bersama durinya, jadi bekas kosong sudah memadai.

Beli durian, buka, terus masuk dalam bekas.

Mudah.

"Tiga biji cukup bang?"

"Cuba dulu, kalau tak penuh tambah lagi."

Setiap biji yang dibuka, ulas-ulas duriannya elok cantik gebu dan montok. Jadi geram. Seulas saya cuba, manis. Seulas lagi, lemak. Seulas lagi, aduhai, pahit dihujung manis durian kampung buat saya dirasuk nafsu mengketedarah.

Saya kembali ke kereta, kerahkan angkatan pemakan durian Gombak turun dan berjemaah bersama saya mengadap 3-4 biji durian di tepi pondok.

Ya ampun.

Tahu-tahu sudah selesai.

Perut penuh, bekas pun penuh.

Tidak ada langsung yang rosak. Yang mangkal pun, tidak begitu ketara. Masih manis. Alhamdulillah.
Sembang-sembang dengan empunya gerai, katanya musimnya kali ini berlanjutan mungkin sehingga Februari 2018. Masih ada pokok yang baru mengeluarkan putik. Kata dia lagi, kalau mahu buat tempahan telefon saja. Ada saya sertakan nombornya di bawah.

Durian Kampung Durian empuk

Lokasi Gerai Durian Gopeng

Nun di Gopeng sana. Kalau datang dari Kuala Lumpur, susur keluar di Gopeng. Selepas tol, belok ke kiri (patah balik ke Kuala Lumpur) dan pondok ini kira-kira satu kilometer dari simpang tadi. Mungkin juga kurang. Saya lupa ambil gambar, tapi di seberang jalan pondok ini ada satu bukit batu kapur.

Kalau terlajak sekalipun, jangan risau. Sepanjang laluan antara Gopeng-Tapah, banyak betul pondok durian di tepi jalan. Meriah. Rambutan juga ada. Yang penting, sediakan saja ongkosnya.

Di bawah saya kongsikan lokasinya. Tandanya Restoran Teduhan Gunung, lokasi pondoknya di seberang jalan,

Hujung bulan 12 nanti, kami mahu ke utara lagi. Moga-moga ada rezeki berjumpa dengan raja buah yang menggoda ini.


Durian GopengMenikmati durian kampungTempahan durian








Reactions

Post a Comment

1 Comments

  1. Isy sedap aih musim durian kan kan. Durian kampun the best!

    ReplyDelete