Bagaimana Memperbaharui Passport Dalam Masa Satu Jam?

Passport Malaysia

Hari itu, saya ambil cuti untuk menyelesaikan beberapa urusan. Tanpa disangka-sangka, seawal jam 9 pagi urusan saya sudah selesai.

Saya pun langsung teringat hal yang sudah tertangguh lama, yakni urusan memperbaharui tempoh hayat passport.

Saya ada dua pilihan pagi itu; pergi ke UTC Sentul atau Jabatan Imigresen di Jalan Duta (jalan yang saya tak ingat nama barunya). Oleh kerana jarak antara keduanya tak banyak berbeza, maka saya lanjutkan saja ke Jalan Duta.

9.47 am
Saya berjaya mendapat parkir dalam kawasan kompleks.

9.50 am
Saya sudah dapat nombor giliran.

9.50 am
Nombor giliran saya dipanggil. Saya berjalan dengan penuh sopan menuju ke kaunter. Saya serahkan jiwa dan raga saya kepada petugas di kaunter. Eh. Maaf. Saya serahkan kad pengenalan saya yang berwarna biru, dan juga passport lama. 

9.51 am
Saya di suruh memakai jaket hitan yang tersangkut di tepi kaunter untuk sesi bergambar. Baju saya hari itu berwarna cerah, secerah kulit saya yang asli tanpa susuk. Namun kecerahan baju saya tidak sesuai untuk gambar passport.

9.52 am
Seorang makcik yang langsung tak meminta izin, menyerang petugas di kaunter saya. Saya memasang telinga, apakah yang dibawangkan oleh perempuan berambut kerinting dan berwarna hitam tiruan untuk menutup uban itu. Tapi akhirnya saya mengambil keputusan untuk terus saja menyambung mendandan diri yang sedia kacak ini.

9.54 am
Selepas makcik rambut kerinting beredar (tanpa meminta maaf atau berterima kasih) saya kembali ke tempat duduk di hadapan kaunter. Petugas kaunter meminta saya untuk pusing mengadap ke dinding untuk sesi bergambar. Saya terkejut! Di hadapan saya ada imej seorang pemuda tampan, persis belia berumur 20-an. Rupa-rupanya itu wajah saya sendiri. Saya tersenyum. Tersipu-sipu. 

10.00 am
Urusan di kaunter pertama selesai. Saya diminta untuk menunggu panggilan untuk menjelaskan bayaran.

10.03 am
Saya selesai membuat pembayaran.

10.30 am
Saya ke kafe untuk minum air manis yang tidak menyihatkan. Mujur minuman saya ditaja oleh seorang pemuda yang berasal dari negeri pembangkang. Eh.

11.00 am
Saya kembali ke kaunter. Rupanya passport saya sudah lama siap. Begitu juga passport pemuda dari negeri pembangkang yang hadir setengah jam lewat daripada saya.

Saya gembira.

Urusan memang benar-benar mudah dan mengambil masa yang pendek. Untuk yang ingin memperbaharui passport, saya kongsikan beberapa tips yang saya perolehi sepanjang hari tersebut.

  1.  Pergilah waktu hari bekerja. 
  2. Hanya UTC saja yang dibuka waktu hujung minggu. Kaunter Imigresen Jalan Duta hanya beroperasi pada hari Isnin - Jumaat. 
  3. Bawa Kad Pengenalan dan Passport lama, dan tuan badan. Tak boleh buat bagi pihak. 
  4. Walaupun penggunaan kad debit dan kredit dibenarkan, elok juga dibawa tunai. Hanya ada satu ATM di Jalan Duta. 
  5. RM200 untuk passport dewasa (5 tahun). 
  6. Pakai pakaian yan bersesuaian untuk tujuan bergambar. Rambut beruban dibenarkan. 
  7. Bawalah buku untuk dibaca sementara menunggu. 






Reactions

Post a Comment

0 Comments