Ultraman Penghujung Julai

"Abah, ambik gambar saya!"

Suara dia yang kuat memecah kesunyian pagi bumi Gombak. Jam waktu itu menunjukkan angka tujuh, kala alam masih samar menanti sinar matahari.

Di tengah jalan yang lengang, dia sedang lincah menggayakan aksi-aksi Pendekar Labu Kundur berasal dari Jepun Timur. Ke sana, ke sini dengan gaya-gaya yang berantakan. Entah perangai siapalah yang menurun pada pemuda berpusar dua di kepala ini.

Saya turun gelanggang. Sempat saya membuat serangan Ulat Bulu Mengganyang Perut kepada dia, namun berjaya ditepis. Saya tak bercadang untuk terus melawan, sebaliknya pantas mengeluarkan kamera yang tersemat di dalam poket. Permintaan dia tadi saya penuhi.

Automatik dia terus menggayakan aksi dengan penuh sifat narsis. Sekali lagi saya tertanya-tanya, perangai siapalah yang dituruti beliau.

Hafiz Jadi UltramanPenuh GayaSisi Tepi

Sekeping. Dua keping. Enam keping.

Begitulah selalunya. Kenangan pagi tadi sudah pegun tersimpan dalam memori telefon. Satu hari nanti, saat ini akan kembali terimbau dan pasti akan ada senyum-senyum yang terukir.

Kenangan abah dan Hafiz, pada pagi Selasa 31 Julai 2018.

___________
Sharulnizam Mohamed Yusof
Raksasa Kesayangan Hafiz





Reactions

Post a Comment

0 Comments