Hutang RM15

"Alamak! Saya bawak RM20 je ni."

"Takpe. Ambik dulu. Nanti bebila abang singgah bayar baki."

"Betul?"

Dia mengangguk dan tersenyum. Wang bertukar tangan. Minyak pelincir rantai basikal berharga RM35 itu, saya masukkan ke dalam poket seluar. Saya kemudian teruskan kayuhan basikal saya demi perjuangan memusnahkan lemak tepu.

Saya ingat hutang saya itu.

Tapi selalunya saya lupa.

Sehinggalah petang tadi saya tergerak untuk singgah ke kedai basikal yang sememangnya terletak di laluan saya pergi balik kerja setiap hari.

Wah!

Kedainya sedikit mengecil, dan banyak berubah. Makin berkembang maju perniagaannya. Barang-barang basikal pun sudah melimpah ke luar kedai.

Saya masuk.

Saya bertanya di mana Poksu, lelaki yang membenarkan saya berhutang RM15 itu?

Pemuda yang saya tanyakan soalan itu, bertanya kembali.

"Poksu? Poksu mana?"

Ah sudah! Takkan lah saya bermimpi. Baru lagi rasanya saya ke kedai ini. Saya cubit perut, tak terasa sakit. Alamak! Adakah saya di alam bunian? Aduh! Lupa pula. Manalah nak sakit cubit perut yang berlemak 24 lapis itu. Lalu saya cabut sehelai bulu kaki, sakit!

Saya terangkan kisah hutang saya pada Poksu. Dan hajat saya petang itu adalah untuk melangsaikan hutang yang sudah lama tertunggak.

"Oh Poksu tu owner lama kedai ni. Dia dah pindah dah, ke Terengganu."

Saya menganga. Cepatnya pindah.

"Bila?"

"Lama dah bang, dah dekat dua tahun dah!"

"Hah!"

Saya menganga lagi. Luas. Dua tahun? Biar betul. Dah dua tahun pindah? Dah dua tahun saya berhutang?

Astaghfirullah.

Saya minta nombor telefon Poksu daripada pemuda tadi. Tak ada. Saya buntu. Hal hutang ni, saya naik risau kalau tak terbayar.

Itulah! Suka sangat bertangguh.

Basikal Raleigh Hydra 29"

Balik rumah, baru ada akal yang waras. Rasanya saya ada ambil nombor telefon Poksu. Saya cari.

Jumpa!

Poksu Basikal.

Saya kirimkan mesej melalui aplikasi Whatsapp. Dan yang menjawab adalah Poksu!

Alhamdulillah.

Selebihnya menjadi sejarah. Poksu menghalalkan hutang saya. Kalau nak bayar, masukkan saja dalam tabung masjid atau surau. Dia tak kisah.

Aduhai. Malunya saya. Berhutang sudah lama, tertangguh dua tahun. Nilai RM15 mungkin kecil, tapi hisabnya nanti takut saya tak tertanggung.

Terima kasih, Poksu. Kerana Poksu mengingatkan saya. Hal hutang sama sekali tak boleh diambil mudah. Mujur saya dapat hubungi Poksu, kalau tidak?

Ingat teman, jangan biarkan hutang bertangguh. Bayar selagi terdaya. Jangan jadi seperti saya.

__________
Sharulnizam Mohamed Yusof
Tak suka hutang

#tulistulissharul





Reactions

Post a Comment

0 Comments