Emel Yang Salah Alamat Selalunya Menyusahkan

Alamat email saya sering diperkotak-katikkan dan diperguna-gunakan. Selalu sangat saya mendapat email yang pelik-pelik dan tidak berkaitan. Yang jelik-jelik, sudah otomatis masuk ke tong sampah.

Inilah masalah budak-budak "data entry". Saya syak ini masalah ejaan semasa mereka "menyalin" dari borang masuk ke dalam sistem. Bukan sekali dua nama saya dieja dengan lebihan "H". Sharulnizam. Bukan Shahrulnizam. Kalau nak salah eja sangat, eja saja Tengku "Shahrukh" Nizammuddin Shah.

Atau budak-budak empunya email itu sendiri yang "blur", sampai tak tahu "mengeja" emel sendiri.

Ataupun, wujud spesis yang main hentam sahaja alamat email sekadar untuk memuaskan kehendak borang yang diisi.

Antara email yang saya dapat (berulang-kali);

#erecruitment@sarawak.gov.my
Kepada; Sharulnizam bin Jubi
Mesej; Notis Jawatan Kosong di XXXX

#tbe@ibfim.com
Kepada; Mohd Sharul Nizam bin Hussin
Mesej; Takaful Exam (berserta username/password)

#syazana@sepangcircuit.com
Kepada; -dalam bcc-
Mesej; Superbike Championship Event

#angkasa2@sarawak.gov.my
Kepada; Syahriana binti Bakri
Mesej; Peringatan dan amaran tarikh pemulangan buku pinjaman

Oi! Nama Syahriana tapi pakai email sharulnizam? Sangat mala fide perbuatan ini, saja nak wujudkan fitnah skandal, kan?

Ada banyak lagi email yang entah apa-apa saya terima.

Sultan Shahrulnizam Nujum Pak Belalang

Ya. Saya boleh saja ambil jalan mudah humbankan semua email ini ke dalam folder "SPAM". Sekejap saja saya boleh selesaikan. Tapi itu hanya menyelesaikan masalah saya. Yang kasihannya, seperti "Sharulnizam bin Jubi" yang mungkin benar-benar menunggu peluang kerja dengan kerajaan Sarawak, tak akan tahu sampai bila-bila iklan kekosongan yang ada.

Mana yang saya boleh bantu, saya bantu. Waktu rajin dan beriltizam, saya akan maklumkan kepada yang berkenaan. Tapi kalau email yang digunakan pun "noreply-to-this-email@email.com", maaflah saya tak cukup rajin nak mencari sumber lain untuk memaklumkan kekhilafan begitu. Natijahnya, ke lubuk SPAM lah email-email itu mereput terurai di makan virus.

Awak;

Prihatinlah. Kelalaian sama ada tuan punya email atau penghantar email, bukan hanya menyebabkan kerugian kepada kalian. Boleh juga menimbulkan kesusahan dan kecelakaan. Maklumat peribadi kalian (seperti alamat, no IC, useername/password) sewenang-wenangnya dihantar kepada orang asing, bahaya kan? Dari nombor IC, boleh tahu umur dan jantina awak. Ada pula alamat rumah. Tahu-tahu, sudah sampai rombongan meminang. Eh! #skandaltaksengaja

Sentiasalah berwaspada. Jangan ambil mudah, ya?

Satu lagi, kenapa @sarawak.gov.my ni sampai dua kali salah alamat? Atau, ini permulaan bibit-bibit perhubungan kita untuk menjadi lebih rapat? Kerajaan Sarawak tahu kan, saya masih belum pernah menjejak kaki ke bumi Kenyalang? Jemputlah, tajalah kami sekeluarga bercuti ke sana. :)


*Nama-nama diubah untuk kerahsiaan tapi masih mengekalkan jantina.











Reactions

Post a Comment

0 Comments