Lelaki-lelaki Yang Menangis

Kesayangan abah

Malam tadi, saya mengamuk dengan Hafiz.

Bila disuruh mengaji, macam-macam alasan dia bagi. Selalu pun macam tu. Nak tengok TV lah, nak main puzzle lah, penat lah.

Mood abah pun tak berapa nak ngam, memang keluarlah suara BoboiRoi Petir sudahnya!

Dia menangis.

Menangis bersungguh-sungguh macam kena dera. Berjurai-jurai air mata. Badan dan muka ditelangkup balik sofa mengongoi. Kalau dah jadi abah-abah ni, kau tahulah beza bunyi menangis anak. Menangis mengada-ngada, atau minta perhatian, atau manja, atau dibuli abang kakak, atau menangis yang betul-betul sedih.

Saya tahu, Hafiz menangis sebab dimarah abah. Bukan sebab tak nak mengaji, tapi memang sebab kena marah oleh abah.

Ya Allah.

Abah tahan diri. Nak peluk, tapi abah kena tetap "in character". Kalau tak, nanti dia ingat abah tak sungguh-sungguh.

Akhirnya dia mengaji. Dengan ummi.

Abah kekal mengawal emosi.

Selesai.

Dia menjeling. Lalu ke ruang televisyen menonton Upin Ipin.

Saya sambung bermain telefon.

Kemudian, dia datang.

Senyum.

Terus duduk di pangkuan, memeluk abah. Minta maaf tanpa suara.

Abah nak sambung bebel.

"Nak buat lagi tak?"

Dia memeluk erat. Kemudian terdengar sedu tangis lagi.

Abah terdiam.

Abah peluk Hafiz erat-erat, memujuk seperti waktu Hafiz masih berubun lembut.

Abah menangis.

Abah tak kuat.

Haih!

Lampu Ultraman abah cepat benar berkelip hilang kuasa dengan lelaki berlesung pipit di pipi kanan ini.

_________
Sharulnizam Mohamed Yusof
Lanjut Usia

#ceritahafiz





0 comments:

Post a Comment

My Instagram