Hujan Di Gunung Angsi

"Pakai baju hujan tu cepat!"

Saya mengarahkan dua orang puteri saya segera mengeluarkan ponco dari beg masing-masing. Terkial-kial mereka menurunkan beg yang digalas, baju kalis air yang mirip benar dengan plastik sampah itu pun pantas disarung.

Awan semakin hitam dan titis air sudah mula membasahi Gunung Angsi perlahan-lahan.

Hujan.

Cabaran yang tak disangka-sangka.

Hari itu kami tiga beranak bersama sepupu dan beberapa orang lagi mendaki menuju puncak Gunung Angsi, Negeri Sembilan. Perjalanan kami bermula dari Ulu Bendul, kemudian turun di Bukit Putus.

Perjalanan yang sepatutnya tak memakan masa yang lama, jadi lewat dari waktu yang ditetapkan akibat kurang persediaan ahli kumpulan.

Tapi, tetaplah pengalaman ini menjadi kebanggaan apabila melihat sendiri nekad dan kudrat dua anak perempuan saya yang gagah mahu bersama abah mereka menakluk puncak gunung setinggi 824 meter ini. Hanim ketika itu berusia 12 tahun manakala Hanis 10 tahun, pertama kali mendaki jarak jauh sebegini.

Ya. Ada rungutan-rungutan kepenatan terutamanya daripada si adik, tetapi tetap juga dia melangkah walaupun perlahan. Aduhai! Kagum saya tak pernah surut hari itu. Keletihan diri sendiri juga bagai tak terasa, disingkir jauh oleh kekuatan semangat mereka bersungguh-sungguh.

Anak-anak abah memang hebat.

Tiba di puncak, ucapan tahniah saya kalungkan kepada mereka dan melihat kedua-duanya sudah menguntum senyum, hati saya menjadi lega. Kami menjamu selera dan bergambar kenangan untuk memori masa dewasa nanti.

Tahniah Hanim. Tahniah Hanis.

Kepenatan Di puncak Gunung Angsi

Hujan

Kami bersiap sedia untuk turun setelah melihat cuaca yang semakin meredup dengan awan hitam. Petanda hujan akan turun.

Hanya kira-kira setengah jam selepas kami bertolak dari puncak, hujan turun selebat-lebatnya tanpa ampun.

Mulanya denai yang kami tempuhi masih landai dan mudah. Namun menghampiri ke point akhir kami perlu menuruni curam yang agak tinggi dan panjang. Air dari hujan yang lebat, berkumpul di atas lantai lalu membentuk jeram air secara tiba-tiba.

Bayangkan.

Hujan lebat. Laluan yang curam. Akar pokok yang berselirat, terlindung di balik air hujan yang deras dan banyak, dan ada dua nyawa saya yang terpontang-panting mencari dahan untuk berpaut untuk mengorak langkah.

Ah!

Sedikit pun tidak ada keluhan atau tangisan ketakutan. Cekalnya hatimu, wahai anak. Saya tahu waktu itu mereka lebih risaukan keselamatan diri, bukannya merengek mahu segera pulang.

"Kakak, adik, pegang tangan abah. Kita turun sama-sama."

Tanpa membantah, kami tiga beranak menuruni bukit itu berpimpin tangan sampai ke sudah. Tidak saya lepaskan, kerana perasaan itu sama seperti memimpin mereka ketika baru bertatih belajar melangkah ketika kecil.

Hujan di Gunung Angsi, mengembalikan kenangan yang membikin hati abah tersenyum manis.

Alhamdulillah.

Sebaik kaki melangkah ke jalan utama, hujan pun turut berhenti membasahi Bukit Putus. Perlahan-lahan, kabus putih terbit di balik balam-balam hutan gunung.

Saya tersenyum.

Hanim dan Hanis ketawa manis.

Kami pun bergambar penuh narsis meraikan kejayaan hari itu.

Gaya narsis tiga beranak Wefie sebelum pulang

Terima kasih untuk kenangan ini, hujan.





Reactions

Post a Comment

0 Comments