Membelah Laut Demi Cinta

Konon. Sanggup membelah laut demi cinta yang sejati. Apa saja sanggup dihadapi.

"Lautan api sanggup kurenangi, setakat Selat Melaka apa lah sangat!"

Begitulah.

Masa awal dilambung asmara, semuanya sanggup tak takut apa pun. Datanglah garuda merobek dada, akan kutentang hingga ke hujung nyawa.

Masuk anak kedua, saya letih.

Kah kah kah!

Membelah Laut Demi Cinta

Penat oi, mahu menyeberangi laut dari Kuala Perlis menuju ke Langkawi. Langkawi bukan setakat destinasi percutian, tapi Langkawi adalah kampung isteri saya. Jadi, dalam setahun entah berapa kali kami berulang-alik menyeberangi Selat Melaka untuk bertemu ayahanda dan bonda.

Bayangkan. Memandu dari Gombak ke jeti Kuala Perlis sudah cukup menyeksa. Tambah lagi menjelang raya atau cuti sekolah, perjalanan boleh berlanjutan sehingga 10 jam. Jam 3 pagi keluar dari rumah, tiba di jeti jam 12 tengah hari. Kalau nasib baik, dapatlah feri jam 1 petang. Kalau tak, terpaksa menunggu sehingga jam 2 atau 3 petang.

Perjalanan dengan bot pula, mengambil masa 45 minit sehingga sejam.

Dari jeti ke rumah, mencari teksi dan memandu pulang mengambil masa 30 minit lagi.

Sampai di rumah, kami semua lunyai!

Ah!

Itu semua kalau molek-molek saja dalam perjalanan.

Pernah satu ketika, tiket yang saya beli (atas talian), dijual juga di kaunter. Sudahnya saya dan keluarga yang terlambat masuk, merempat di sana sini dalam feri akibat tempahan tiket yang bertindan.

Adoi!

Memang teringin betul jadi Naga Emas seperti catatan Puan Emila. Biar hangus semuanya, dah bertahun-tahun mengendalikan feri tarafnya tak pernah membaik. Begitu saja tak berkembang.

Dan berada di atas laut itu sendiri, bukanlah perkara yang menyenangkan. Satu, saya ini mabuk laut. Mujur feri di Langkawi jenis bot besar, maka ayunan ke kiri kanan depan belakangnya tak begitu terasa. Dua, saya selalu berfikir yang bukan-bukan. Bagaimana kalau bot ini tiba-tiba berhenti di tengah laut? Kalau berlanggar, macam mana? Saya bukan pandai berenang. Siapa nak selamatkan anak isteri saya?

Teruk, kan?

Feri ke Langkawi Jeti Kuala PerlisSedang menunggu di jeti Kuala Perlis

Tapi sekarang, sudah hampir tiga tahun saya tidak lagi menggunakan feri. Semenjak ayah mertua duduk bersama kami di Gombak, saya sendiri sudah tak ke Langkawi mencecah dua tahun. Tiga tahun sebelumnya, kami menggunakan kapal terbang untuk pulang ke pulau lagenda itu.

Tidak ada lagi laut.

Tapi saya rindu dengan pantai Cenang dan pantai Pasir Tengkorak.

:(

Pantai Cenang, LangkawiSenja di Pantai Cenang, Langkawi

Nota; Ikuti entri saya bersempena cabaran Catatan Bulan Julai yang dimulakan oleh Cik Puan Norsa'adah Ahmad. Terima kasih kerana sudi membaca.

#julyblogposts #july2019entries






Reactions

Post a Comment

0 Comments