Mimpi Ngeri Di Reykjavik

Malam sudah semakin larut. Kami akhirnya memandu pulang ke apartment. Misi mencari aurora malam itu menemui jalan buntu. Seinci pun tak kelihatan kelibat cahaya hijau yang katanya pandai menari di langit yang gelap.

Langit Reykjavik turut tak mahu berkongsi keindahannya setelah empat malam kami berada di Iceland.

Kecewa, penat dan cuaca sejuk yang menggigit menjadikan saya benar-benar mahu berehat waktu itu. Jam sudah menunjukkan angka 1 pagi, entah sudah berapa lama saya belum mendapatkan rehat yang sebenar-benarnya. Tambahan pula hari itu sudah masuk hari kelapan perjalanan saya mengembara ke Scotland dan Iceland.

Saya penat total.

Sebaik masuk ke dalam rumah, saya terus saja ke sofa yang terletak di ruang tamu. Dengan baju yang tidak berganti, saya pantas terlelap sebaik kepala sudah terletak selesa di atas bantal empuk.

Dan sebentar itu juga, mimpi ngeri itu datang tanpa diundang.

Malam di Reykjavik

Gelap.

Sekeliling yang sepi tanpa ada apa-apa.

Sejuk mencengkam.

Dan saya, sendiri tanpa siapa-siapa.

Di dalam kesunyian dan kesamaran cahaya, tiba-tiba saya dikelilingi oleh mahkluk-mahkluk berwajah aneh dan menyeramkan. Perlahan-lahan, satu per satu mahkluk itu menghampiri saya yang sudah terpasung melekat ke bumi. Meronta pun tak berdaya. Lalu saya cuba menjerit meminta pertolongan, tapi suara yang keluar hanyalah butir kata yang tak dimengerti.

Allah.

Saya benar-benar ketakutan.

Makhluk hodoh itu semakin hampir dan saya semakin kuat meronta cuba mencari pertolongan.

"Angkel! Angkel! Bangun angkel!"

K (bukan nama sebenar), sahabat travel saya cuba mengejutkan saya yang digelar "angkel" aka uncle. Rupanya saya sudah meracau di dalam tidur dan membangunkan K di bilik. Hairannya, hanya dia saja di dalam rumah itu yang mendengar jeritan saya, manakala rakan-rakan yang lain sudahpun lena diulit mimpi masing-masing.

Saya masih belum sedarkan diri namun terus merintih-rintih merayu supaya dibantu.

"Oooooo... uuuuu... oooooo... aaaaaaa!"

"Uuuuuu.. oooooo!"

K sudah hilang ketenteraman. Saya sudah hanyut menjiwai watak dalam mimpi sendiri. Sepi dinihari di tanah Reykjavik yang bersuhu sejuk membeku, menjadikan suasana menjadi semakin menggerunkan.

K "membaca" apa yang patut dibaca.

Entah bagaimana, mimpi saya hilang begitu saja dan tidak ada lagi racauan dalam tidur. Saya terus menyambung tidur tak sedarkan diri, sehinggalah sampai waktu menunaikan fardu Subuh.

Kasihan K.

Malam itu tidurnya diselebungi misteri racauan tanpa sedar seorang lelaki yang keletihan.

Malam itu, saya puas berehat.

Tapi K matanya terkulat-kulat.

Maafkan saya, K.

"OOOoooooo... uuuuuu.. aaaaaa.... uuuuuuuu!"

Hehe!

Pagi di Reykjavik


#julyblogposts #july2019entries

Nota; Ikuti entri saya bersempena cabaran Catatan Bulan Julai yang dimulakan oleh Cik Puan Norsa'adah Ahmad. Terima kasih kerana sudi membaca.








Reactions

Post a Comment

0 Comments