Sekeping Hadiah Untuk Si Manis Berlesung Pipit

"Nah, ini macam yang dijanjikan."

"Wah! Coklat. Terima kasih."

"Terima kasih juga, sebab tolong aku."

"Alah. Benda sikit je."

"Tak apalah. Aku pun dah janji nak bagi hadiah ni, kan?"

Saya senyum.

Dia pun tersenyum.

Lesung pipit di pipi kirinya menambah seri dan manis. Tentulah saya pun tersipu-sipu menahan getar di dada melihat orang yang saya puja dalam diam, memberikan senyuman yang membikin angau. Memang peluang sentiasa dicari untuk mendekati, untuk berkenalan dengan lebih rapat. Hasilnya hari itu, sekeping coklat Cadbury saya hadiahkan kepada dia untuk pertolongan yang kecil.

Peluang boi, peluang!

Mana tahu, kejadian pemberian hadiah itu kemudian menjadi buah mulut. Ada yang cemburu, ada pula mula menghidu-hidu aroma perhubungan apakah ini.

Cis! Dasar penyibuk!



Tapi, benarlah. Semenjak peristiwa pemberian hadiah kecil di depan pintu kelas itu, segalanya lebih berjalan "lancar".

Tahu-tahu, setelah empat tahun peristiwa itu berlalu, saya pun berjabat tangan dengan Tok Kadi di sebuah masjid di Langkawi, untuk memperisterikan seorang gadis berlesung pipit di pipi kiri.

Hihihihih!


Nota; Ikuti entri saya bersempena cabaran Catatan Bulan Julai yang dimulakan oleh Cik Puan Norsa'adah Ahmad. Terima kasih kerana sudi membaca.

#julyblogposts #july2019entries

Topik hari #19 : HADIAH






Reactions

Post a Comment

0 Comments