Cinta tak semestinya bersatu [ Cerpen Berantai ]

Episod 1 : Ramli yang sepi
Episod 2 : Layla Oh Layla
Episod 3 : Layla.. Hatiku Belum Milikmu, Begitu Juga Rudeen
Episod 4 : Lima Hati
Episod 5 : Hati Kontras & Hakikat
Episod 6 : Cinta Harus Memiliki

Hafis sedar, yang ada di depannya bukan orang-orang biasa baginya. Ini orang yang cukup istimewa baginya. Orang di hadapannya boleh diibaratkan seperti jika Hafis ialah Shah Jehan manakala Rudeen ialah Mumtaz Mahal. Jadi, menjadi gugup dan gemuruh di hadapan gadis ini sudah menjadi satu kewajipan.

"Hafis!" jerkah Rudeen.

"Saya cintakan awak!" jerit Hafis yang terkejut dari lamunannya.

****************************************************************************

[ Rumah Rudeen ]

Rudeen terkesima. Kata-kata Hafis bagai halilintar.Tanpa sedar punggungnya sudah terlabuh ke tanah. Jantungnya berdebar kencang, bergelora bagai deras sungai selepas hujan. Dan Rudeen hilang. Hilang melayang ke alam cinta. Bunga-bunga mekar jatuh sekeliling. Rudeen nampak dirinya khayal bermain kelopak bunga. Dan di depannya berdiri gagah sang pujangga penuh gaya. Rudeen bahagia.

"Rudeen?", suara Hafis memanggil lembut. Tersipu-sipu.

Rudeen sedar, kembali ke alam nyata. Penuh sopan kembali mengaturkan duduk. Kakinya tersimpuh ayu. Tudung bawal merah jambu menyerlahkan rona merah di pipi Rudeen. Ada sikit titis air di hujung mata. Rudeen kembali bertaut mata dengan jejaka idamannya.

Hafis tadi turut terjelepok, tersandar ke batang pokok rambutan. Entah mana datang kuasa berani, Hafis lancar meluah rasa yang terpendam. Hafis lega, walau Rudeen masih senyap tak berkata. Hafis tau, sebenarnya Rudeen sudah pun menjawab. Senyum manis Rudeen sudah menerangkannya. Hafis membalas senyum. Makin bahagia bila terlihat sopan si dara melayu.

Hafis dan Rudeen akhirnya tertawa. Malu-malu. Tapi mesra. Angin petang bertiup lembut, meraikan gelora jiwa dua sejoli.

Di dapur, ada esakan kecil di balik pintu. Mak Rudeen turut bahagia bila melihat anaknya dilanda gembira. Tahulah dia anaknya kini sudah bertemu laksamana jiwa. Tapi, esaknya semakin melaju bila teringatkan panggilan telefon malam tadi.

Esok, ada rombongan mahu datang bertandang. Rudeen mahu dirisik. Dan Mak Rudeen seakan tahu, esok juga ada hati yang bakal kecewa.



[ Rumah Layla ]

Layla mendengus. Benci betul dengan apa yang baru didengar. Ramli di depannya bagai mahu dipicit-picit. Mulut Ramli seperti mahu digonyoh dengan sabut kelapa. Berdesing telinga Layla mendengar berita dari mulut lancang Ramli.

"Betul Layla, aku tak tipu! Kau ingat aku saja-saja nak buat cerita? Kalau kau tak percaya, kau pegi jumpa perempuan tu terus. Percaya sangat lah kau ngan si Hadi tu", Ramli berapi-api.

"Aku tau aku tak de kerja Layla, orang pandang hina kat aku. Orang kata aku macam-macam. Tapi, aku tak kisah semua tu. Cuma aku tak sampai hati tengok kau kena main dengan budak Hadi tu. Kau pun tau kan, aku sayang kau Layla".

Layla membungkam.

"Aku terima Layla, kau tak nak aku, tak apa. Cinta tak semestinya bersatu. Aku cuma nak kau bahagia Layla.". Ramli berayat. Ayat-ayat cinta.

Layla masih senyap. Kisah baju kurung bersaiz S rupanya ada cerita yang lain. Layla sudah yakin dengan penerangan Hadi tempoh hari, tapi kata-kata Ramli lebih kuat menghasut hati. Entah lah. Bila disebut Ramli adanya perempuan lain, perempuan yang memang dikenalinya pula, hati Layla bagai ditusuk sembilu. Pedih. Sedih kerana ada yang ingin bersaing merebut buah hatinya Hadi. Selama ini Layla memang risau. Hadi memang lelaki piliihan ramai untuk dibuat menantu. Bila mahu dijodohkan, bukan kepalang suka si Layla. Dan sekarang, bila Ramli membuka cerita, risau Layla kembali berputik.

Ramli menambah. "Kau pikir lah Layla. Kalau kau nak, aku bawak kau pergi jumpa perempuan tu terus".

Marah Layla pada Ramli sudah kendur. Layla hanya diam.

"Eh! Aku balik dulu lah Layla. Kalau kau dah ada keputusan, kau bagitau aku."

Ramli mengundur diri. Dari jauh kelibat Pak Long Kamil terhenjut-henjut mengayuh basikal pulang dari kedai. Ramli tak mau berselisih dengan orang tua Layla. Banyak ceritanya nanti. Tapi Ramli puas. Tugasnya selesai. Sekali tendang, enjin motor Ramli bergaung mengaum. Ramli mahu ke pekan, janjinya pada Izwan perlu ditunaikan. Tak sangka Izwan memudahkan rancangan Ramli. Ramli yakin, Layla akan kembali kepadanya.

"Kau tunggu Layla. Kau tunggu!"



[ Surau Simpang Sepetang ]

Sabtu itu, usai solat Zohor, sekelompok manusia berkumpul di ruang belakang surau. Sepuluh orang semuanya. Semuanya berpakaian kemas. Berwangi-wangi.

"Assalamualaikum", Tok Siak surau membuka bicara. Orang lama, secara auttomatik dilantik sebagai ketua rombongan. Hadirin senyap menumpu perhatian

"Seperti yang kita sedia maklum, hari ini kita akan mewakili ahli kariah kita untuk merisik anak Pak Borhan. Maklumlah, saudara kita ni sekeluarga je di sini, tak ada saudara mara yang lain. Jadi itu yang dia mintak kita jadi wakil."

"Jadi, rasanya semua dah maklum. Kita tak payah lah lama-lama lagi di sini. Pak Borhan pun dah SMS saya dah ni hah, tanya bila nak sampai. Tak sabar nak dapat menantu dah tu agaknya. Hahahahah!"

Seloroh Tok Siak disambut tawa ahli rombongan. Masing-masing kemudian bangun ke luar surau. Tok Siak di hadapan sekali.

"Eh Tok! Mana bakal pengantinnya? Tak ikut sekali ke?", tanya ahli rombongan.

"Ada. Dia ke tandas kejap. Seram sejuk lah tuh", Tok Siak masih berlucu.

"Ehem! Ehem!"

Mata hadirin tertumpu ke belakang surau. Suara deheman datang dari balik pintu tandas. Haji Rizal muncul tampan bergaya dengan baju batik hijau pucuk pisang.







Reactions

Post a Comment

0 Comments