Tragedi Janjiditepati #3

Tragedi Janjiditepati #1
Tragedi Janjiditepati #2

################################

Rozinor sudah terperosok di bawah meja. Lebam di muka sudah bertapok-tapok sekeliling. Darah sudah mengalir menjirus-jirus di hidung. Zalila masih utuh mencekak baju jenama Adibas Rozinor.

"Lagi sekali aku dengar kau cakap macam tu, aku rejam kau dengan helmet ni! Faham?!"

Zalila mengaung-acungkan topi keledar AGV nya ke muka Rozinor. Rozinor hanya mampu mengangguk longlai. Iwan, rakan seperjuangannya sudah awal-awal lesap. Iwan tahu sangat kalau Zalila sudah naik hantu. Pemegang tali pinggang segala jenis warna seni mempertahankan diri itu pantang terusik. Amukkannya hanya reda sendiri. Jangan siapa cuba menahan.

"Pak Rol, ni duit ganti barang rosak. Tak cukup nanti aku tambah!"

Zalila berlalu pergi. Manakala Pak Sharul yang tersimpuh di belakang dapur dari tadi, hanya menangis tersedu-sedu. Takut benar dia melihat apa yang baru berlaku. Trauma diserang hendap tentera Jepun dulu, hari ini berulang kembali.

################################

Zalila melangkah laju. Motor Yamaha Egonya tadi dibiar tersadai di kedai Pak Sharul. Lagipun kunci motor tadi sudah disumbat-tenyehkan ke hidung Rozinor. Tak sanggup nak diambik balik. Biarlah. Nantilah difikirkan. Kakinya deras menghala ke sungai di baruh kampung. Tempat Zalila mencari ketenangan diri. Sambil berjalan, air mata Zalila menitis satu per satu. Segarang-garang dia, Zalila masih tetap seorang perempuan. Kesal dengan apa yang terjadi sebentar tadi. Mulanya niat Zalila membaling parang hanya lah untuk menakut-nakutkan. Tapi kata-kata Rozinor selepas itu yang mencetus amuk Zalila.

"Woi! Kau nak tunjuk samseng ni apa hal? Tak padan ngan perempuan. Patut sangat lah si Harun Ajis tu mintak putus tunang! "

Itu lah kata pembuka sengketa. Sepanjang tujahan penumbuknya, hanya muka Harun saja yang terbayang di muka Rozinor. Marah betul hati Zalila terkenang peristiwa lama. Kisah yang mahu dilupakan terus. Skandal hubungan sulit Harun Ajis sudah lama diketahuinya. Peristiwa terserempak Harun bergurau senda main layang-layang dengan skandalnya di tengah sawah menjadi bukti segalanya. Harun Ajis dan Rudeen! Tak disangka-sangka teman baiknya sendiri punya angkara. Dasar pengaruh drama Melayu! Semenjak hari itu, semuanya menjadi sejarah.

Whoooossshhhh! Srek.. srekk! Burrrr!! Kecelepop!

Bunyi dibalik semak membuatkan langkah Zalila terhenti serta merta. Naluri kependekarannya menyuruh Zalila mencari tempat bersembunyi segera. Di balik pokok getah tua, Zalila mengintai. Mata kuyu semulajadi Zalila memerhati tajam. Dari tempat punca bunyi aneh, kelihatannya seperti dua kelibat manusia separuh umur terhendap-hendap di balik semak.

"Siapakah gerangannya itu? Bermalafide kah mereka?"

Zalila nekad mahu menyiasat.

################################

Hadi dan Rizal sudah semakin hampir ke dusun Pak Akob. Rizal masih belum berhenti bertanyakan Hadi apa yang mahu ditunjukkannya. Hadi hanya menyuruh Rizal mengikut tanpa soal. Rizal akur dalam paksa. Hadi dah diisytiharkan sebagai BFF nya, kepercayaannya kepada Hadi diserah bulat-bulat.

"...hanya lah kau satu satu idamanku.. tiada lagi dua dua dihatiku..."

Sesekali Rizal terdengar Hadi menyanyi. Entah lah. Sedih juga mengenangkan nasib si Hadi. Rizal tahu, lagu yang dinyanyikan Hadi itu, lagu tema percintaan pilihan Hadi untuk si Rudeen. Rizal ada bersama-sama dengan Hadi masa menyalin lirik lagu dendangan Salwa Abdul Rahman itu. Entah apa yang yang tak kena dimata Rudeen, Rizal pun tak faham. Rudeen Rudeen, hati kau keras. Oh!

"Tu. Kau nampak tak?"

Hadi menyergah Rizal yang sedang mengelamun. Rizal terpisat-pisat memandang ke arah yang ditunjuk Hadi.

"Mana? Tak de apa benda pun"

"Tu, kat tepi pokok ketapang tu! Tengok betul-betul"

Yang mana pokok ketapang, Rizal tak tau. Rizal hanya memerhati arah telunjuk Hadi. Ditenung-tenung. Rizal cuba mengecam apa yang mahu ditunjuk Hadi. Semakin lama memerhati, semakin jelas apa yang dilihat. Hati Rizal mula berdegup laju. Kelihatan lembaga yang tak tentu apa jenisnya seperti sedang mengerumun manusia yang meronta-ronta.

"Ha.. Ha.. Hadi, tu abang Apiz kan?"

Rizal cuba mendapatkan kepastian dari Hadi. Abang Apiz, penjual aiskrim depan pagar sekolahnya itu memang Rizal kenal. Walaupun Rizal pembeli tegar aiskrim Abang Apiz, Rizal tetap bersama Hadi berseteru dengannya. Abang Apiz saingan utama Hadi dalam urusan mengurat Rudeen.

"Ha ah! Dia lah tu. Padan muka!"

Hadi menjawab acuh tak acuh. Rizal mula takut. Kakinya sudah mahu melangkah pulang. Ditariknya tangan Hadi. Sebelum melangkah, sempat ditolehnya sekali lagi ke pokok ketapang. Sudah tidak ada makhluk-makhluk aneh itu. Abang Apiz juga hilang. Rizal menoleh ke Hadi. Hadi memangdang Rizal.

Whooossshhh!

Sekonyong-konyong itu makhluk aneh berdiri di depan mata. Rizal dan Hadi menjerit. Tapi yang keluar hanya air najis kecil. Suara mereka hilang di balik hilai tawa makhluk aneh.

Hihihihihihihihihihi!

#################################





Reactions

Post a Comment

0 Comments