Pekan Rabu, Alor Setar

Aku kenal Pekan Rabu ini semenjak mula belajar di Kuala Nerang. Sekitar tahun 1995. Waktu itu kalau mahu outing, pilihan yang ada sama ada pekan Kuala Nerang ataupun Alor Setar. Untuk ke Alor Setar, perlu menaiki bas HBR.

Dua jam!

Memang selalunya mata akan terlelap di dalam bas. Itupun kalau terlalu penat. Keadaan jalan pada masa itu, aduh! Naik bas seperti naik kuda!

Tetapi tetap seronok kalau dikenang. Beramai-ramai kami akan turun di stesen terakhir di Alor Setar. Masih ingat lagi berhampiran stesen ini ada Hankyu Jaya, panggung wayang dan KFC. Di KFC itulah selalunya kami mengisi perut selepas penat merayau di Alor Setar.

Dan Pekan Rabu,walaupun jarang tetap kami singgah sekali-sekala.

Kalau diingat-ingat, Pekan Rabu tahun 1995 dan yang terbaru minggu lepas (September 15, 2014), tidak ada banyak perbezaan. Mungkin ada usaha baikpulih bangunan, tetapi fungsinya masih begitu. Peniaga-peniaga Melayu menguasai sepenuhnya (daripada pemerhatian peribadi, mungkin salah) ruang niaga di sini.

Pekan Rabu, Alor Setar
Pekan Rabu, Alor Setar
Pekan Rabu dari luar


Pekan Rabu, Alor Setar
Pekan Rabu, Alor Setar

Barang jualan juga tidak lah begitu pelbagai. Pada satu bahagian, lebih kepada jualan pakaian dan juga barang-barang kraftangan. Kalau di Kuala Lumpur, mungkin tidak keterlaluan jika mahu disamakan dengan Wisma Yakin.


Sudut Selera Kampung

Pada satu bahagian yang lain (tingkat atas), terdapat barang jualan makanan. Makanan tempatan seperti emping, dodol, kuih-muih dan pelbagai lagi. Hampir keseluruhannya berasaskan makanan tradisi. Setiap kedai hampir sama barang-barangnya, kalau ada kelainan pun satu dua kedai yang membuat "demo" memasak kuih-muih terus di depan kedai.

Di bahagian bawah ada disediakan ruang makan. Boleh lah cuba menjamu selera rasa utara. Ada orang kata ABC di sini sedap, tetapi tidak pasti kedai yang mana satu.

Pekan Rabu, Alor Setar
Pekan Rabu, Alor Setar
Pekan Rabu, Alor Setar



Sempat membuat sedikit carian di google, ada juga maklumat berkaitan Pekan Rabu ini.
Pekan Rabu mempunyai sejarah tersendiri dalam usaha menggalakan penyertaan bumiputera bergiat dalam bidang perniagaan yang menjadi minat masing-masing.

Kegiatan perniagaan Pekan Rabu bermula sejak selepas Perang Dunia Pertama atas inisiatif YTM Tunku Yaacob, seorang Putera Diraja Kedah, supaya orang-orang melayu dapat terus menjalankan perniagaan dalam bandar. Ianya bermula dari pasar minggu di Tanjong Chali, yang terletak dipersinggahan antara Jalan Pekan China dan Jalan Pengkalan Kapal di bandar Alor Setar.

Tanjong Chali merupakan sebuah tapak bagi melatih orang-orang Melayu di dalam perniagaan. YTM Tunku Yaakob telah mengasaskan kawasan perniagaan ini menjadi pasar minggu di situ pada setiap hari Rabu sahaja pada awal 1920 an. Perniagaan mingguan ini kemudiannya berkembang maju dan berlangsung pada setiap hari. Ini menyebabkan kerajaan negeri terpaksa memindahkan Pekan Rabu ini ketapak barunya yang ada sekarang pada tahun 1932 kerana kawasannya menjadi sempit akibat perkembangan perniagaan yang di jalankan.


Sumber; http://pekanrabu.com.my/prmelayu.html

Ingat tu!

Kalau berkunjung ke Alor Setar, jangan lupa ke Pekan Rabu.

Mai Cek Mai!






Reactions

Post a Comment

0 Comments